“Seniman dan Anugerah”
Badrolhisham Mohamad Tahir
Seni berlangsung di dalam masyarakat dan bukan di luar masyarakat! Kebelangsungan seni ada sejarahnya dan tentu sekali bertempat. Keahlian seniman pula ke dalam dunia seni adalah tertakluk kepada sejumlah pengetahuan seni yang di dasari oleh kepercayaan serta habit masyarakat dunia seni bersosial; norma habitual itu adalah kesan daripada pendedahan individu terhadap proses sosial. Jika tabiat seseorang itu banyak di pandu oleh struktur social itu, maka peranan masyarakat dan individu banyak merangka bagaimana seseorang memutuskan apa yang mahu dilakukannya dan sekali gus meletakkan ‘kebebasan’ sebagai sesuatu yang bukan mutlak.
Dalam hal ini seniman tidak bebas berkreativiti kerana faktor masyarakat sekelilingnya. Ini tidak bererti seniman berkarya dalam hampagas kerana keterbatasannya itu sebenarnya adalah sumber bagaimana seniman dapat menghasilkan karyanya. Piyadasa dan Sulaiman Esa tidak mungkin lakukan Mystical Reality jika tidak di sebabkan keterbatasan berkreativiti yang di sediakan dari Expresionisme Barat hinggakan mereka mahu beralih pandang kepada kesenian Timur. Oleh itu, habit mereka itu boleh di anggap unik berdasarkan pengalaman mereka mengharungi kehidupan dunia seni yang juga merupakan antara beberapa variasi struktur yang membentuk ‘class habitus’ mereka. Untuk itu, pengabungan beberapa ‘class habitus’ oleh pelbagai individu termasuk Piyadasa dan Sulaiman Esa inilah yang membentuk sebuah dunia yang dijalankan secara bersama unik untuk dunia seni berlainan daripada dunia ekonomi, dunia politik, dan sebagainya. Dengan kata lain, seni adalah produk sosial masyarakat yang mendukongnya – masyarakat seni tempatan. Oleh itu, kerja seni dan kerja praktikal dunia lainnya boleh di anggap aktiviti yang sama. Apa sebenarnya yang membezakannya?
Tujuan esei ini adalah untuk menyatakan seniman tidak bebas ( tidak pernah bebas sebenarnya) berkarya dan antaranya batasan yang terdapat di dalam dunia seni adalah sistem anugerah. Kewujudan sistem penganugerahan banyak mempengaruhi keputusan seniman dalam berkarya.
Perbezaan kerja-kerja seni dari kerja-kerja praktik yang lain, umumnya, di tentukan oleh konvensyen atau lapangan. Konvensyen adalah sebuah norma berkerja yang di lakukan secara berintegrasi sesama seniman secara rutin. Kerutinan itu di kawal oleh komunikasi yang kompleks terbina secara aktif dan berterusan dari perhubungan kompleks antara struktur sosial dengan keadaan. Persoalan mengapa dan bagaimana Maurizio Cattelan dianggap seniman dan karyanya sebagai seni tidak terjawab jika pertaliannya dengan gerakan yang di mulakan oleh Marcel Duchamp terputus. Lihat sahaja kepada karyanya La Nona Ora (1999); sebuah patung Pope John Paul II yang di timpa tahi bintang. Di kalangan seniman ini tidak menghairankan dan segala ‘kelainan’ yang merujuk kepada karyanya itu terhasil dari karekter dunia seni dan sikap audien yang biasa menerimanya. Dalam hal ini, Maurizio tidak menghasilkan karyanya sendirian. Beliau tentu sekali di bantu oleh beberapa personal sokongan agar karya itu dapat dihasilkan. Untuk itu kita boleh katakan juga bahawa seniman masih perlu bergantung kepada faktor kemasyarakatan sekelilingnya agar dapat terus wujud dan relevan di tengah-tengah masyarakat dan bukan hidup bersendirian tanpa memerlukan atau mendapat bantuan orang lain. Terlebih lagi apabila masyarakat sekelilingnya juga terdiri daripada seniman, pemikir, pengumpul atau pendidik seni yang merupakan individu yang menyokong amalan ‘luarbiasa’ mereka itu.
Untuk itu seni boleh di anggap dunia aktiviti bersama bagi menjayakan dunia seni: dunia yang senantiasa dalam proses pembinaan. Dengan kata lain, tiada seorang pun yang boleh mendabik dada mengatakan karyanya adalah ciptaan dan hasil bikinan dirinya sendiri dengan tanpa menglibatan penglibatan orang lain. Demikianlah juga halnya kepada individu yang menganggap dirinya hebat tanpa ada sokongan dari orang lain. Jika benar seniman ‘lain daripada yang lain’, adakah seniman sememangnya benar-benar memerlukan sebuah sistem pengiktirafan sebegitu bagi menjulang mutu hasil kekreatifannya? Siapa yang sepatutnya mengiktiraf mereka sedemikian? Atau apa yang mendorong seniman untuk menyertai sistem penganugerahan ini? Apakah ‘prestij’ dalam hal ini? Dan mengapakah ia penting?
Jawapannya tidak lain agar hasil inovasi kesenian mereka dapat diiktiraf samaada di beli atau keupayaan kreativitinya di akui dalam pelbagai pertandingan dan penganugerahan. Dalam hal ini dunia seni menawarkan seniman habuan secara material (wang) dan simbolik (prestij). Maka anugerah dalam seni perlu dilihat bertujuan memacu semangat para seniman, baik seniman senior maupun seniman junior untuk berlumba-lumba menhasilkan karya seni yang lebih baik dari apa yang telah ada hari ini. Dan kewujudan anugerah juga tidak akan menutup kemungkinan munculnya seniman-seniman muda berbakat dan memiliki karya seni yang baik pula. Ini apa yang saya maksudkan dengan bentuk komunikasi unik dan sewajarnya ia memacu serta mempengaruhi komuniti seni berkarya menjadikan lapangan seni sebagai ruang autonomus mengikut konvensyen seni yang membina sejumlah pengetahuan di dalamnya. Ingin saya ulangi konvensyen boleh di katakan sebagai faktor pemisah antara keilmuan seni dengan keilmuan dunia lain. Dengan kata lain, kepentingan konvensyen boleh di jadikan asas bagi menentukan siapakah yang patut berada di dalam dunia seni dengan siapa yang harus berada di luar. Begitulah halnya dengan siapa yang layak di beri anugerah.
Maka, kewujudan anugerah Malaysian Emerging Art Awards (MEA) adalah rentetan daripada anugerah-anugerah lain seperti Bakat Muda Sezaman, Salon Malaysia, Anugerah Seni Negara sebagai proses pengawalan di mana setiap inovasi akan diperhatikan. Berbekalkan faktor sejarah dari pengalaman berkecimpung di dalam dunia seni, Matahati dan Galeri Chandan tentu sekali maklum berkenaan keberlangsungan produksi kesenian yang amat bergantung kepada idea-idea baru. Idea-idea baru itu di percayai boleh di lihat jika adanya sistem penganugerahan baru bagi menjulang bakat muda Negara yang paling berbakat secara alternatif. Ini tidak bermaksud seniman senior tidak berbakat tetapi apa yang diharapkan adalah satu penjanaan jenis visual atau intelektualiti yang baru agar dialog serta komunikasi dunia seni ada kepelbagaian. Dalam hal ini, Matahati dan Galeri Chandan berserta juri yang di pilih boleh di lihat berperanan sebagai satu badan bebas yang membenarkan seniman berkarya secara bebas dalam erti kata tidak menentukan jenis apa dan bagaimana karya itu harus di buat.
Dengan adanya anugerah MEA ini, di samping seniman menerima habuan material, apa yang lebih penting adalah habuan simbolik berupa pujian dan pengiktirafan melalui satu elaborasi dari sistem estetik agar justifikasi dapat di lakukan bahawa karya seni mereka di nilai sebagai seni dan wajar mendapat perhatian di dalam sosio budaya setempat oleh pengkritik seni. Ini juga satu anugerah! Dalam hal ini kita harus terima bahawa tanpa anugerah sebarang inovasi mungkin tidak dapat di perlihatkan. Lantaran itu, perbandingan antara habuan material dengan habuan simbolik tiada bezanya melainkan kedua-duanya adalah habuan yang diharapkan seniman agar dapat menjadi pendorong kepada jenis atau mutu karya yang harus berada di dalam dunia seni tempatan.
Pada keseluruhannya, apa yang mahu saya katakan adalah berkenaan seniman dan badan anugerah bagaimana seniman di anugerahkan tidak hanya secara material tetapi simbolik tetap memerlukan satu ikatan perhubungan yang saling bergantungan antara satu dengan yang lain. Ini sekali gus memecahkan taboo yang beranggapan kehidupan seniman berada dalam dunia asing dari masyarakatnya dan tidak menjamin masa depan. Namun setelah apa yang di terangkan tadi kita patut faham kini bahawa tanpa kedua-dua gandingan habuan ini berserta struktur-struktur seni yang lainnya mana mungkin dunia seni dapat terbina apatah lagi keilmuannya.




